My photo
I am just nobody who loves to write a poetry.

Ceraian



Aku mengumpul ceraian-ceraiannya
Seulas senyummu
Serpihan gurauanmu
Sekeping kata-kata manismu
Juga, bongkahan kecil perhatianmu

Aku memasukkannya dalam uncang hati
Menjadi memori yang pecah-pecah
tanpa alur dan jalur

Dengan langkah ringan
mengandar harapan sebesar bukit
Aku cuba berkali-kali
mencantumkan ceraian yang aku temukan
Melekatnya dengan harap
Menjahitnya dengan sabar
dan ceraian-ceraian itu menjadi indah
seperti kubentangkannya sebagai cekerawala
menghilangkan tiap beza pandangan 
atas rasa yang tidak pernah sama

Aku menunggumu
kerana kisah ini
hanya akan diakhiri olehmu

Tapi sayang,
ketika semuanya berakhir ditanganku
ertinya
matahatiku sudah mampu melihat realiti
bahawa ceraian yang aku kumpulkan cuma sampah
yang tidak sengaja kau buang

Dan tiba-tiba,
semuanya menjadi jelas







October 2010



Untuk apa





Untuk apa
datang padaku dengan berbekas-bekas air liur
rakus meratah
ghairah menjamah
dengan amuk berahi yang membabi buta
hanya untuk sesaat berada di syurga

Untuk apa
ketika pulang sebentar kepadaku
lalu
berambus lagi
Datang
berambus lagi
Bertahun-tahun
tanpa arah tuju


Untuk apa
jika aku yang kau bungkus cermat
Sekadar untuk bernyanyi kecil
Bercumbu rayu 
Sebenarnya tidak pernah boleh
mengikat kemas hatimu yang sejuk itu
dengan sedikit rasa hangat 
yang mampu memabukkanmu
hanya dengan sepotong kecil cinta








Febuari 27, 2010









melanKOli (6) faREWell (4) ReliGi (3) CINTa (2)